26 Julai 2026 | Ahad
Menghantar Anak Kembali ke Kolej Matrikulasi Selangor
Alhamdulillah, petang ini tepat jam 5.45 petang, kami sekeluarga bertolak dari Shah Alam menuju ke Kolej Matrikulasi Selangor untuk menghantar anak nombor 2 yang tamat cuti hujung minggu.
Perjalanan berjalan lancar dan kami selamat tiba sekitar 6.30 petang. Walaupun cuti hujung minggu terasa begitu singkat, masa bersama keluarga sentiasa menjadi kenangan yang sangat bermakna.
Sebagai ibu bapa, setiap kali menghantar anak kembali ke kolej pasti ada rasa sayu. Namun, kami sentiasa mendoakan agar Allah SWT mengurniakan kesihatan, ketenangan hati, dipermudahkan segala urusan pembelajaran serta dikurniakan kejayaan di dunia dan akhirat.
Semoga anakanda terus berusaha bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu, menjaga solat, berakhlak mulia, dan menjadi insan yang dapat membanggakan keluarga serta memberi manfaat kepada agama, bangsa dan negara.
"Ya Allah, peliharalah anak kami di perantauan. Kurniakanlah kepadanya ilmu yang bermanfaat, hati yang tenang, sahabat yang baik, serta kejayaan yang berkat. Aamiin."
Alhamdulillah, pagi ini bawa anak bongsu ke Klinik Pergigian Seksyen 19, Shah Alam untuk mendapatkan rawatan gigi.
Tiba di klinik sekitar jam 7.40 pagi dengan harapan dapat terus mendapatkan rawatan secara walk-in. Pada mulanya, pihak jururawat memaklumkan bahawa temujanji perlu dibuat melalui aplikasi MySejahtera. Namun, mereka turut mencadangkan supaya kami menyemak aplikasi tersebut kerana kadangkala ada pesakit yang membatalkan slot pada saat akhir.
Alhamdulillah, ada rezeki pagi ini. Berjaya mendapatkan slot yang kosong hasil pembatalan temu janji oleh pesakit lain. Proses pendaftaran berjalan lancar dan tidak mengambil masa yang lama.
Anak bongsu menjalani rawatan menampal gigi, dan semuanya berjalan dengan baik. Selepas pemeriksaan, doktor memaklumkan masih ada satu lagi bahagian gigi yang perlu ditampal. Jadi, perlu datang semula untuk satu lagi sesi rawatan.
Yang menariknya, kali ini urusan memang jauh lebih cepat berbanding sebelum ini. Dulu, ketika datang secara walk-in tanpa membuat tempahan slot melalui MySejahtera, sampai sekitar jam 7.30 pagi tetapi hanya selesai lebih kurang jam 10.15 pagi. Namun hari ini, walaupun datang secara walk-in, guna slot pembatalan yang tersedia dalam MySejahtera. Hasilnya, seawal jam 8.45 pagi semuanya sudah selesai.
Bagi saya, kaedah ini memang sangat membantu mengurangkan masa menunggu. Jadi, kepada sesiapa yang ingin mendapatkan rawatan di klinik kerajaan, jangan lupa semak aplikasi MySejahtera terlebih dahulu. Mana tahu ada slot yang dibatalkan oleh pesakit lain dan anda boleh terus menggunakannya tanpa perlu menunggu terlalu lama.
Alhamdulillah, urusan hari ini dipermudahkan. Terima kasih kepada seluruh warga Klinik Pergigian Seksyen 19, Shah Alam atas layanan yang mesra, cekap dan profesional. Semoga Allah SWT memberkati setiap usaha kalian dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat. 🤲
Alhamdulillah...
Hari ini, genaplah usiamu 18 tahun, Damia.
Masih jelas dalam ingatan abi saat pertama kali mendukungmu. Rasanya seperti baru semalam mendengar tangisanmu buat kali pertama. Hari demi hari berlalu begitu pantas, tanpa sedar kini anak kecil itu sudah menjadi seorang gadis yang semakin matang.
Sejak Tingkatan 1, Damia memilih jalan yang tidak mudah. Tinggal di asrama, berjauhan daripada keluarga, belajar hidup berdikari, mengurus diri sendiri dan menghadapi pelbagai cabaran tanpa abi sentiasa berada di sisi.
Sebagai seorang ayah, sudah tentu hati ini sentiasa risau. Namun dalam masa yang sama, abi sangat bangga melihat bagaimana Damia membesar menjadi seorang anak yang kuat, tabah dan semakin matang.
Damia...
Abi mungkin tidak mampu memberikan segala yang terbaik. Tetapi percayalah, setiap doa selepas solat, nama Damia tidak pernah tertinggal. Abi sentiasa memohon agar Allah menjaga setiap langkahmu, mempermudahkan segala urusanmu dan mengurniakan kejayaan dunia serta akhirat.
Semoga usia 18 tahun ini menjadi titik permulaan kepada kehidupan yang lebih indah. Teruslah menjaga solatmu, akhlakmu, maruahmu dan hubunganmu dengan Allah. Ilmu akan membawamu ke puncak kejayaan, tetapi imanlah yang akan menjaga dirimu sepanjang perjalanan hidup.
Selamat Hari Jadi yang ke-18, Damia.
Semoga Allah SWT mengurniakan kesihatan yang baik, dipanjangkan usia dalam ketaatan kepada-Nya, dipermudahkan segala urusan, dimurahkan rezeki yang halal, berjaya dalam pelajaran, menjadi anak yang solehah, berbakti kepada agama, ibu bapa dan masyarakat.
Abi sayang Damia... semalam, hari ini, dan sampai bila-bila. ❤️
Alhamdulillah...
Hari ini genap usia anak kedua abi 14 tahun.
Terasa baru semalam abi mendukungmu. Kini, kau semakin dewasa dan semakin matang. Masa berlalu begitu pantas.
Abi tidak meminta balasan apa-apa. Cukuplah Allah terus memberi abi peluang melihatmu membesar, tersenyum dan mengejar impianmu.
Semoga Allah sentiasa melindungi setiap langkahmu, mengurniakan kesihatan, kebahagiaan, ilmu yang bermanfaat dan menjadikanmu anak yang solehah serta berjaya di dunia dan akhirat.
Selamat Hari Lahir, sayang.
Terima kasih kerana menjadi salah satu sebab abi terus kuat melangkah setiap hari.
Abi sayang kamu... hari ini, esok dan selamanya. ❤️
– Abi
14 Julai 2026
Malaysia
London
Saudi Arabia